CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, April 1, 2011

pasangan yang beriman ~




assalamualaikum semua :)




masa blogwalking, terjumpa satu artikel ni. menarik :) teringin nak share kat sini. moga sama2 dapat manfaat ^_^



Saya tertarik pada sebuah doa yang pertama dalam sejarah. Doa ini dilafazkan dan dipanjatkan oleh manusia yang pertama, di saat berpijak di muka bumi, juga buat kali pertama.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Pertemuan Dua Kekasih.

Semua orang sedia maklum. Selepas berlaku peristiwa termakan buah khuldi, Allah s.w.t murka dan menghantarkan Nabi Adam a.s dan Hawa ke bumi. Pun, mereka tidak diletakkan bersama-sama. Mereka dipisahkan. Lalu, keduanya dengan penuh rasa insaf dan taubat merayu kepada Allah dan meminta keampunan.

Ya. Allah Maha Pengampun. Keduanya diampunkan dan dipertemukan kembali. Dan, doa itu menjadi satu tali yang menghubungkan kedua suami-isteri yang terpisah tadi.

Untuk kita, hari ini kita tidak tahu siapa jodoh kita, tapi insyaAllah berkat doa ini, satu ketika nanti Allah akan temukan dengan si dia, yang juga beramal dan mengharap dengan doa ini.

Isteri Solehah.

Tak perlu saya ulang sebut akan hadis tentang mencari jodoh. Rasanya semua orang tahu bahawa keutamaan harus dilorongkan pada aspek agama, kemudian baru cantik, keturunan dan harta menyusul.

Cuma, persoalannya ialah mengapa agama yang dititik beratkan?

Sedikit perkongsian daripada saya.

Penting sangatkah untuk kaum pria mencari gadis solehah untuk dijadikan pendamping hidupnya?

Jawapannya bukan lagi penting, kerana yang tepat ialah ia adalah terlalu penting!

Saya yakin benar, bahawa hidup ini sebenarnya terlalu pendek untuk dikongsi bersama dengan si pencari dunia. Itu prinsip saya, pemahaman saya dan pegangan saya.

Untuk memilih pasangan hidup, dia tidak hanya akan menjadi teman di dunia ini tetapi di akhirat. Sekiranya di dunia dia memberi masalah, pasti di akhirat dia akan memberi mudharat yang jauh lebih besar.

Gadis yang solehah adalah lebih bernilai daripada longgokan permata di dasar laut yang paling dalam. Ini kerana gadis solehah tidak mengimpikan suaminya menjadi pendamping di dunia cuma, tetapi di akhirat juga sama.

Sekali lagi, kenapa perlu kepada pasangan yang beriman?

Ini adalah kerana saya melihat matlamat perkahwinan itu ialah agar pada kedua mempelai, akan ada peningkatan amal, peningkatan ibadah, peningkatan akhlak dan peningkatan taqwa. Jika kalian memilih pasangan yang kurang menitik beratkan agama, maka kalian akan mendapati bahawa untuk melaksanakan suatu sunnah yang besar pun akan menjadi suatu yang sukar.



Kesimpulan.

Inilah yang saya faham. Memiliki pasangan yang mahukan agama bererti kita memiliki sebelah sayap untuk ke langit. Hanya tinggal kita untuk mula mengibar-ngibar sebelah sayap lagi untuk menuju ke sana.

Yang akhir, saya meminta keampunan kepada Allah kiranya artikel kali ini menimbulkan mudharat yang di luar kehendak saya. Kerana, saya bukan orang yang sesuai untuk berbisik-bisik tentang urusan yang besar ini. Moga saya menjadi orang yang mengotakan janji.

bayyinat